Friday, April 1, 2011

"Suami Orang, Isteri Orang"

Entri kali ni berkaitan dengan topik yang dibincangkan dalam Rancangan Al - Kuliyah ---> "suami orang, isteri orang" , terbitan TV3 ....

Benar bahawa syarak membolehkan wanita bekerja dan membolehkan ia keluar ke pasar-pasar untuk menunaikan keperluannya, tetapi ia mensyaratkan kepadanya beberapa perkara sebelum ia keluar yang secara ringkasnya:

Syarat-syarat wanita bekerja di luar rumah

1.    Menundukkan pandangan dan tidak bercampur gaul tanpa keperluan kerja, menjauhkan tempat-tempat syubhat dan berhati-hati dari semua itu. Ia merupakan perkara yanga amat susah. Dalam ketiadaan daulat Islam yang mana kita dapati bahawa pejabat-pejabat dalam syarikat-syarikat mewajibkan adanya para pekerja dalam satu bilik lebih dari sembilan jam secara berterusan yang memberi kebebasan untuk memandang dan berbincang di luar urusan kerja. Lebih utama adalah memisahkan tempat-tempat wanita dan lelaki di dalam syarikat itu sendiri dan hubungan antara keduanya dilakukan betul-betul pada ketika tugas mereka memerlukan hal tersebut. 

2.    Menjaga kesopanan wanita dengan memakai pakaian syarak yang sempurna dalam kehidupan umum. Tidak ragu lagi kerana wanita keluar dalam keadaan sopan dan serius akan menghalang pandangan mereka yang ada keraguan dalam hatinya, iaitu orang yang tidak takut kepada Allah. Jangan berwangian secara keterlaluan hinggakan menimbulkan nafsu syahwat di antara pekerja lelaki yang lain.

3.    Mencegah dari berkhalwat. Khalwat adalah apabila seorang wanita dan seorang lelaki berada di suatu tempat yang tidak membolehkan seorang yang lain untuk masuk tanpa izin keduanya. Contohnya seorang pengurus mengadakan mesyuarat dengan seorang pegawainya dengan menutup pintu biliknya serta meminta agar mereka tidak diganggu oleh sesiapa. Yang dituntut adalah mesyuarat diadakan di dalam bilik tetapi pintunya dibiarkan terbuka hingga sesiapa yang lalu di hadapan bilik dapat melihat mereka. Selain itu menjaga diri supaya tidak terlalu bergaul mesra bergurau senda, bertepuk tampar apalagi bersentuhan dengan rakan sepejabat walau apa jua keadaannya.

4.    Menghalang wanita dari melakukan sebarang kerja yang membahayakan akhlaknya atau merosakkan masyarakat. Maka wanita dilarang untuk bekerja dalam pekerjaan yang bermaksud untuk mengeksploitasi kewanitaannya seperti bertugas dalam pasaraya bagi tujuan menarik pelanggan, di kedutaan yang bertujuan menggunakan kewanitaannya untuk memperoleh tujuan politik, pramugari kapal terbang untuk menarik pelanggan, setiausaha yang berpenampilan menarik agar mereka dapat berlaku lembut dengan pelanggan, tetamu dan malah pengurusnya juga!

5.    Menghalang wanita melakukan sebarang kerja yang haram seperti bekerja di bank-bank dan syarikat-syarikat kapitalis dan syarikat bursa saham serta tempat-tempat menjual arak dan daging khinzir.

Hal ini mengingatkan kita bahawa masyarakat hari ini memandang wanita terhad  kepada material, jasad dan kepentingan semata. Bentuk tubuh si gadis merupakan faktor penting, bahkan menjadi syarat asas untuk diterima bekerja. Begitu juga, sistem sekarang ini tidak menjamin hak-hak ibu dalam hal melahirkan anak, menyusu dan menjaga mereka. Biasanya mereka diberikan cuti enam puluh hari sahaja untuk menguruskan hal bayinya itu! Banyak syarikat lain sebenarnya membuang pekerja wanita yang hamil dan ada juga yang langsung tidak mengambil pekerja wanita! Oleh yang demikian menjadi bertambah sukar bagi wanita untuk mencari kerja dengan mengambil kira tanggungjawab-tanggungjawabnya yang lain.


Sistem yang zalim ini serta situasi yang rosak ini menyusahkan urusan-urusan kaum wanita. Kewujudan kita dalam masyarakat yang tidak menjaga perkara-perkara yang haram dan tidak komited dengan pengaturan hubungan antara lelaki dan wanita agar bersesuaian dengan ajaran-ajaran agama kita yang suci, menyukarkan lagi kerja wanita dan menuntut kesabaran dan kecekalan yang lebih. Hal itu menyebabkan ramai pemudi lebih suka tinggal di rumah (hingga tidak berkahwin pun) daripada bekerja dan berhadapan dengan gangguan dan provokasi setiap hari. Sedangkan diketahui bahawa ramai wanita yang berkesanggupan untuk menyesuaikan kedua-dua hal tersebut meskipun hal itu menuntutnya agar mengerahkan usaha dengan lebih besar dan berkali ganda.

Kita dapat simpulkan  bahawa asal permasalahan sekitar wanita bekerja adalah kerosakan yang berlaku dalam masyarakat kita disebabkan kefahaman yang rosak yang tersebar  dalam pemikiran kita. Hal itu merupakan natijah dari tidak diterapkannya hukum-hukum Allah. Oleh itu hendaklah kita letakkan keutamaan kita untuk menghilangkan kerosakan ini dan bekerja untuk mengubahnya melalui perubahan konsep-konsep mengenai kaum wanita  dalam masyarakat kita dan meminta semua orang untuk mengembalikan pemerintahan sesuai dengan apa yang diturunkan oleh Allah supaya keadilan kembali dan ketenangan, kebahagiaan dan kegembiraan meliputi ahli keluarga kita. Kesengsaraan wanita tidak terletak pada isu dia bekerja di luar rumah semata, dan ini berbeza antara seorang wanita dengan yang lain. Penderitaan sebenarnya terletak pada realiti rosak yang masih kekal dalam keadaan rosaknya. Penderitaan sebenarnya dan penderitaan semua manusia adalah kerana Islam tidak dijadikan roda yang kehidupan itu dapat disesuaikan dengannya.

Pesanan buat saudariku yang bekerja:
Sekiranya saudari tidak terdesak untuk bekerja, dan jika saudari mempunyai rumah, suami dan anak-anak, mereka lebih memerlukan saudari dari sebarang kerja lain.  Mereka lebih penting kepada saudari dari harta maka tinggallah dengan mereka, wahai kaumku untuk mengurus dan mendidik mereka. Peliharalah rumah saudari, suami dan anak-anak saudari serta sediakan buat mereka kehidupan yang tenang dan penuh kasih sayang. Rumah saudari lebih utama buatmu saudariku.

Seterusnya serahkan diri saudari untuk bekerja di jalan Allah dan menegakkan kalimah-Nya. Allah adalah yang lebih penting dan lebih manis dari sebarang kerja lain yang saudari telah lakukan. Umat memerlukan saudari. Kaum wanita lain yang dizalimi, yang ditindas dan sesat memerlukan saudari. Kewajipan kitalah kaum wanita seperti kaum lelaki untuk bekerja bersama mereka untuk melakukan perubahan supaya kita mendapat keredhaan Allah dan kemuliaan di dunia dan syurga yang kekal di akhirat.


Sumber: Terjemahan dari Majalah Al Izzah, Lubnan. Edisi ke 8.

~babylove~

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Photobucket